
UCAPAN ALUAN
PENGETUA
Sebagai pembuka kata, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi ruang dan kesempatan berharga ini. Syabas kepada Ahli Jawatankuasa Laman Web SMKA Tok Bachok kerana mampu merealisasikan laman web rasmi sekolah. Ucapan terima kasih dan tahniah yang tidak terhingga atas usaha dan komitmen yang diberikan kepada semua yang terlibat dalam menyiapkan laman web SMKA Tok Bachok.
Kepada semua warga terutama pelajar-pelajar yang dikasihi, mulakanlah tahun ini sebagai tahun untuk mencapai kegemilangan seperti mana yang telah ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Kepada pelajar-pelajar SMKA Tok Bachok, saya menyeru agar sentiasa mempersiapkan diri dan minda dengan ilmu duniawi dan ukhrawi supaya dapat berhadapan dengan cabaran dunia globalisasi.
Kepada seluruh warga SMKA Tok Bachok, saya berharap agar dapat berkhidmat dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan agar dapat menjana potensi murid ke tahap yang optimum sekaligus memartabatkan SMKA Tok Bachok sebagai institusi pendidikan cemerlang yang mampu melahirkan generasi terbilang minda kelas pertama yang dapat bersaing di persada antarabangsa.
Akhir bicara, saya amat menaruh harapan yang tinggi agar pelajar-pelajar di sekolah ini mempunyai sahsiah dan akhlak yang mulia. Kesungguhan dan komitmen seluruh warga SMKA Tok Bachok serta ibu bapa sudah tentu dapat melahirkan generasi pelajar yang berilmu, dinamik, progresif dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai aspek kehidupan dan menjadi insan yang kamil. Semoga segala kejayaan yang telah kita capai pada masa ini akan menjadi inspirasi untuk kita pada masa mendatang dalam melahirkan GENERASI ULUL ALBAB.
Sekian, terima kasih.